Friday 15 March 2013

Wajarkah Kanak Berumur 4 Tahun Pergi Ke Sekolah?


            Kebanyakan ibubapa mempunyai pertanyaan bahawa adakah wajarnya anak mereka yang berumur 4 tahun pergi ke sekolah seperti prasekolah ataupun tadika. Sebenarnya, terdapat sebab-sebab yang tertentu untuk kedua-dua wajar dan tidak wajar kanak berumur 4 tahun pergi ke sekolah.
            Untuk kanak berumur 4 tahun tidak wajar pergi ke sekolah, sebab yang pertama adalah kanak akan berasa tertekan. Kanak yang berumur 4 tahun harus bermain sambil belajar dengan gembira dan tanpa tekanan. Tetapi kebanyakan tadika menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran tanpa menggunakan kaedah bermain. Hal ini menyebabkan kanak akan berasa tertekan di dalam kelas. Contohnya, guru tadika menggunakan kaedah kuliah di dalam kelas seperti mengajar menggunakan papan tulis dan buku teks sahaja.
            Sebab yang kedua adalah kanak akan berasa bosan. Kanak yang didedahkan kepada pelajaran pada umur yang awal akan menyebabkan mereka berasa bosan untuk belajar pada masa depan. Hal ini disebabkan mereka sudah kehilangan semangat ingin tahu. Contohnya, kanak yang mula belajar pada umur yang awal akan kehilangan minat untuk belajar berbanding dengan kanak yang mula belajar pada umur yang lewat.
            Di samping itu, jika tadika yang anda pilih adalah menggunakan kaedah “Teacher-centered”, kanak berumur 4 tahun tidak wajar pergi ke sekolah. Hal ini disebabkan kanak tersebut tidak mempunyai kebebasan sendiri. Contoh “Teacher-centered” adalah guru akan menentukan segala proses pengajaran dan pembelajaran tanpa memberi peluang kepada kanak untuk membuat keputusan. Selain itu, jika salah satu ibubapa mempunyai ilmu dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak, mereka boleh mendidik anak mereka dengan sendiri.
            Untuk kanak berumur 4 tahun wajar pergi ke sekolah, sebab yang pertama adalah persediaan ke sekolah rendah. Kanak boleh mula belajar atau menyesuaikan diri dengan cara persekolahan supaya dia tidak akan takut semasa masuk ke sekolah rendah. Contohnya, mereka akan bangun pagi dan berpisah dengan ibubapa mereka untuk pergi ke sekolah. Mereka juga akan mampu berkomunikasi dengan kanak-kanak yang lain.
            Sebab yang kedua adalah membantu perkembangan. Kanak yang mula bersekolah pada umur 4 tahun akan mengembangkan pelbagai perkembangannya. Sebagai contoh, dia boleh membaca dan mengira untuk perkembangan kognitif, berkomunikasi dengan orang lain untuk perkembangan sosial, mengawal emosi untuk perkembangan emosi, mengawal motor kasar dan motor halus untuk perkembangan fizikal, dan sebagainya.
            Sebab yang ketiga adalah seronok. Kanak boleh bermain sambil belajar dengan rakan-rakannya. Mereka akan berasa seronok dan gembira berbanding dengan mereka tinggal di dalam rumah dengan orang gaji dan bermain dengan sendiri. Contohnya, mereka boleh bermain permainan atau main peranan dengan rakan-rakannya.
            Tambahan pula, kanak akan mudah belajar sejak lahir sehingga 6 tahun. Oleh itu, ibubapa atau guru harus mengembangkan perkembangan kanak dalam tempoh masa 6 tahun ini. Contohnya, kanak yang berumur 5 tahun akan mudah belajar pelbagai bahasa berbanding dengan kanak yang berumur 12 tahun.
            Jika tadika yang anda pilih adalah menggunakan kaedah “Student-centered”, kanak berumur 4 tahun wajar pergi ke sekolah. Hal ini disebabkan kanak tersebut mempunyai kebebasan sendiri. Contoh “Student-centered” adalah guru akan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menentukan segala proses pengajaran dan pembelajaran tanpa mengawal segalanya dengan sendiri. Selain itu, jika ibubapa tidak mempunyai ilmu dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak, mereka tidak boleh mendidik anak mereka dengan sendiri, jadi mereka harus menghantar anak mereka pergi ke sekolah.
            Kesimpulannya, pada pendapat saya, kanak yang berumur 4 tahun wajar pergi ke sekolah. Hal ini disebabkan terdapat banyak kebaikan kanak berumur 4 tahun pergi ke sekolah berbanding dengan keburukannya. Walaupun ibubapa yang mempunyai ilmu Pendidikan Awal Kanak-Kanak boleh mendidik anak mereka dengan sendiri tetapi anak mereka perlu berkomunikasi dengan orang lain. Oleh itu, kanak berumur 4 tahun pergi ke sekolah adalah sangat penting untuk semua perkembangannya.

No comments:

Post a Comment