Tuesday 5 March 2013

Sebab Pendidikan Awal Kanak-Kanak Penting


            Pada zaman yang moden ini, masyarakat semakin mementingkan pendidikan termasuk pendidikan awal kanak-kanak. Walaupun kita mengetahui pendidikan awal kanak-kanak adalah penting tetapi adakah kita mengetahui sebab pendidikan awal kanak-kanak penting? Sebenarnya terdapat beberapa sebab pendidikan awal kanak-kanak penting.

            Sebab yang pertama adalah kebaikan negara. Jika negara kita mempunyai pendidikan awal kanak-kanak yang baik dan berkesan, kita boleh melahirkan generasi akan datang yang cerdik pandai dan berinovasi. Secara tidak langsung, mereka akan memajukan negara kita. Dengan ini, kita juga tidak akan kehilangan orang yang cerdik pandai.

            Di samping itu, pihak ibubapa juga merupakan salah satu sebab pendidikan awal kanak-kanak penting. Hal ini disebabkan ibubapa zaman kini tidak mempunyai masa dan kemahiran mendidik. Oleh itu, mereka boleh menghantar anak-anak mereka ke prasekolah untuk belajar. Selain itu, mereka juga boleh mencari sumber tentang pendidikan awal kanak-kanak yang betul untuk mendidik anak-anak mereka. Tambahan pula, melalui pendidikan awal kanak-kanak, mereka boleh mengetahui perkembangan anak-anak mereka dengan lebih tepat.

            Sebab yang terakhir adalah kebaikan kanak-kanak. Melalui pendidikan awal kanak-kanak, mereka mengetahui asas dan persediaan kehidupan. Mereka boleh belajar daripada apa yang berlaku di persekitaran mereka. Mereka juga boleh belajar daripada tindakan dan minat mereka. Dengan ini, mereka mempunyai persediaan ke peringkat sekolah rendah iaitu Tahun 1. Selain itu, kebolehan atau bakat mereka boleh dikenal pasti dan dipertingkatkan oleh guru-guru prasekolah sejak kecil lagi. Tambahan pula, mereka akan mempunyai keyakinan, kemahiran berfikir, kemahiran berkomunikasi, berdikari dan sebagainya.

            Kesimpulannya, pendidikan awal kanak-kanak sangat berguna terhadap negara, ibubapa dan kanak-kanak sendiri. Untuk melahirkan generasi akan datang yang berilmu dan berinovasi, kita harus mementingkan pendidikan awal kanak-kanak dari sekarang juga serta sejak setiap kanak kecil lagi.

No comments:

Post a Comment