Wednesday 27 February 2013

Kaedah Pengajaran Guru Dalam Penggunaan Alatan Tangan

Pengenalan
  
Menurut Mok (1992), kaedah pengajaran merupakan satu cara mendekati objektif pengajaran
dengan langkah penyampaian yang tersusun. Menurut Sharifah ( 1986 ), kaedah pengajaran pula merupakan peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancangkan dengan teratur.
 

Terdapat pelbagai jenis kaedah yang boleh digunakan dalam proses pengajaran. Antara kaedah pengajaran yang akan dibincangkan adalah seperti berikut:
i) Kaedah tunjuk cara
ii) Kaedah amali
iii) Kaedah projek
iv) Kaedah simulasi
v) Kaedah syarahan
vi) Kaedah latih tubi
vii) Kaedah perbincangan
 
i) Kaedah Tunjuk Cara
 
 Kaedah tunjuk cara juga dikenali sebagai kaedah demonstrasi. Dalam mata pelajaran
Kemahiran Hidup, kaedah pengajaran guru adalah penting. Sewaktu pengajaran, kemahiran guru mendemonstrasikan langkah-langkah dan juga cara-cara melakukan kerja amali yang melibatkan penggunaan alatan tangan di hadapan pelajar secara langsung memberi peluang kepada pelajar untuk memerhati dan meneliti. Ini juga disokong oleh Ramlah (1992) yang menyatakan bahawa kaedah demonstrasi telah lama dikenal pasti sebagai teknik yang paling berkesan untuk kemahiran psikomotor.

 Menerusi kaedah pengajaran ini, pelajar-pelajar akan dapat mencontohi tunjuk cara yang
dilakukan oleh guru sewaktu pengajaran dengan lebih tepat. Di samping itu, demonstrasi dari guru juga berupaya untuk membina keyakinan pelajar supaya mereka dapat melaksanakan demonstrasi secara individu dalam kerja amali contohnya penggunaan alatan tangan.
 
ii) Kaedah Amali

 Kaedah amali juga dikenali sebagai kaedah bengkel. Menurut Zol Azlan (2000), kaedah
amali boleh didefinisikan sebagai seorang, sepasang ataupun sekumpulan kecil pelajar dibekalkan dengan alatan untuk menjalankan kerja amali. Guru yang menggunakan kaedah ini, bertindak sebagai fasilitator, pelajar akan menjalankan kerja-kerja amali manakala guru hanya memainkan peranan sebagai pemerhati dan juga membimbing. Menerusi kaedah pengajaran ini, pelajar berpeluang untuk mengendalikan alatan di dalam bengkel sambil membuat tafsiran sendiri.

 Kaedah amali merupakan kaedah yang paling praktikal apabila digunakan dan dapat
membantu pelajar secara langsung dalam proses pembelajaran di dalam bengkel.

iii) Kaedah Projek
 
 Professor William Kilpatrick (1871- 1965) dlm Sharani (2007) telah memperkenalkan kaedah
projek ini. Kaedah projek ini diperkenalkan berlandaskan teori pembelajaran yang menyatakan
bahawa hasil pembelajaran pelajar akan menjadi lebih berkesan jika pelajar sering bersedia untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran yang dirancangkan dengan cara yang menarik. Melalui kaedah ini, pelajar akan memerhati satu situasi yang sebenar untuk mendapatkan hasil. Di samping itu, kaedah ini boleh meningkatkan penglibat pelajar dan secara langsung mengembangkan kemahiran yang ada pada pelajar yang tidak mungkin dicapai melalui kaedah lain.

 Dalam satu pengajaran yang dilaksanakan dengan kaedah projek secara langsung memberi
kelebihan kepada pelajar. Menerusi kaedah projek ini, pengetahuan dan kemahiran projek yang dipelajari secara langsung dapat digunakan dalam situasi sebenar.

iv) Kaedah Simulasi

 Kaedah simulasi merupakan satu kaedah pengajaran yang sengaja diwujudkan sama dengan
keadaan dan situasi sebenar dengan matlamat untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Melalui kaedah ini, pelajar-pelajar akan melakukan pembelajaran melalui aktiviti lakonan secara teratur dan dikawal. Kaedah simulasi melibatkan sosiodrama dan juga main peranan. Sosiodrama merupakan salah satu aktiviti lakonan yang menarik serta berdasarkan sesebuah cerita manakala lakonan pula merupakan satu lakonan secara spontan tanpa melibatkan skrip. Lazimnya kaedah pengajaran jenis simulasi ini adalah bertujuan untuk mempelbagaikan aktiviti pembelajaran dan membina sifat positif pada pelajar.

v) Kaedah Syarahan
 
 Kaedah syarahan juga dikenali sebagai kaeda kuliah. Menurut Atan Long (1980), guru
dianggap sebagai individu yang mengetahui segala-galanya dan pelajar sebagai individu yang tidak mengetahui apa-apa. Ini menunjukkan kepada kita bahawa guru luas pengetahuan manakala pelajar  boleh diibaratkan sebagai ‘tin yang kosong’. Lazimnya kaedah syarahan sering digunakan dalam pengajaran institute pengajian tinggi. Melalui kaedah ini, pelajar mendengar pengajaran guru, mencatat nota dan memikir semula isi pengajaran selepas pengajaran. Dari aspek guru pula, guru hanya berperanan sebagai fasilitator sahaja. Dalam kaedah ini, sesi perbincangan tidak dijalankan sewaktu pengajaran.

vi) Kaedah Latih Tubi

 Kaedah ini merupakan satu kaedah pengajaran yang menitikberatkan aktiviti pengulangan
fakta-fakta atau kecekapan yang diperoleh. Tujuan kaedah latih tubi ini digunakan dalam pengajaran adalah untuk mencapai taraf penguasaan pelajar terhadap kemahiran di samping menjamin kekekalannya.

vii) Kaedah Perbincangan

 Kaedah perbincangan merupakan satu strategi pengajaran yang melibatkan satu aktiviti
perbualan yang melibatkan di antara pelajar dengan guru di dalam sesebuah kelas. Dalam sesi perbincangan, guru lazimnya menjadi penyelia kepada sesi perbincangan. Pelajar pula memainkan peranan yang aktif dalam sesi perbincangan tersebut.

 Terdapat dua jenis bentuk perbincangan iaitu perbincaangan yang dijalankan di keseluruhan
kelas dan juga perbincangan antara kumpulan-kumpulan kecil. Dalam perbincangan antara
keseluruhan kelas, perbincangan tersebut lazimnya diarahkan oleh guru. Untuk perbincangan
kumpulan-kumpulan kecil pula, sesi perbincangan tersebut lazimnya diketuai oleh pelajar di dalam kelas tersebut.

1 comment:

  1. Kaedah-kaedah dalam penggunaan alatan tangan yang dinyatakan dalam post ini mempunyai beberapa kaedah yang belum dibincang di post-post sebelumnya.
    Kaedah seperti tunjuk ajar, amali, projek, simulasi, dan syarahan boleh digunakan oleh para guru untuk mempelbagaikan cara penyampaian mata pelajaran dan ilmu pengetahuan.

    ReplyDelete